Kisah di Mekah
“AKU menyahutMu wahai Tuhanku! Aku menyahutMu! Tiada sekutu bagiMu, aku menyahutMu! Sesungguhnya kepujian dan kenikmatan itu bagiMu, juga kerajaan tiada sekutu bagiMu! Aku menyahutMu dengan haji yang benar-benar penuh dengan ibadat dan perhambaan!”
Laungan talbiah bergema di Mekah. Itulah yang berlaku ketika musim haji. Seluruh pelusuk manusia yang percaya dan yakin kepada Allah datang menziarahi ‘Rumah Allah’ iaitu Kaabah sambil berzikir, bertasbih, berdoa dan beribadah semata-mata kerana Allah.. Alhamdulillah.
Kisah zaman Nabi Ibrahim AS..
Dengan meyakini dan beriman kepada Allah swt, Nabi Ibrahim AS bersama anaknya Nabi Ismail AS melaksanakan satu pengorbanan yang cukup besar. Cukup besar yang pada logiknya kita mungkin tidak mampu melaksanakannya dalam keadaan kita sekarang. Nabi Ibrahim AS sangat sayangkan kepada anaknya sehinggakan bersedih ketika hendak menyembelih anaknya. Nabi Ismail AS pula bersedih kerana akan berpisah dengan bapanya dan ibunya. Namun atas sikap sanggup berkorban kerana Allah, mereka dengan redha menerima dan melaksanakannya.
Kisah pada zaman Rasulullah SAW dan para sahabat RA..
Pada tahun 10 Hijrah, berlakunya perlaksanaan ibadah Haji yang pertama dan terakhir buat Rasulullah saw. Ketika berada di Arafah jugalah Baginda SAW menyampaikan khutbahnya yang terakhir, yang membuatkan sahabat yang paling rapat dan paling dikasihi Rasulullah SAW, Saidina Abu Bakar RA menangis dan sangat bersedih, sebagai tanda bahawa pemergian Rasulullah SAW hampir tiba.
Dalam khutbah yang terakhir Rasulullah saw, antara isinya:
- “Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan, Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu, dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir disini pada hari ini.
- “Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu, segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang.
- “Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil.
- “Wahai manusia sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak ke atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka juga berhak diberikan makan dan pakaian, dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.
- “Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah solat lima waktu, berpuasalah di bulan Ramadhan, dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah ibadah haji sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Taqwa dan beramal saleh.
- “Ingatlah, bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan diatas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu, awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.
- “Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Qur’an dan Sunnahku.
- “Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hamba-Mu.“
Kisah zaman sekarang
Berkorban menjadi suatu perkara yang kagum pada zaman hari ini. Orang zaman hari ini telah melakukan banyak pengorbanan. Tetapi pengorbanan mereka adalah untuk mengejar nikmat dunia, bukanlah pengorbanan untuk melaksanakan Islam sepenuhnya. Sanggup bekerja siang dan malam di tempat kerja, sanggup tidak berkahwin, sanggup meninggalkan perkara wajib, sanggup melakukan maksiat dan dosa, sanggup menyesatkan manusia dan sanggup melawan Allah kerana ingin mengejar kekayaan dunia. Itulah pengorbanan zaman hari ini. Pengorbanan yang besar nilainya pada pandangan mereka..
Kisah perjuangan hari ini
Menyambut Hari Raya Aidil Adha merupakan suatu muhasabah kepada perjuangan. Raya Aidil Adha bukanlah semata-mata mengorbankan haiwan atau binatang dan diberikan kepada orang lain. Bukanlah semata-mata hari cuti bagi mereka yang bekerja dan juga bukanlah semata-mata hari untuk memohon maaf sesama orang lain. Tetapi Raya Aidil Adha merupakan hari peringatan mengenai pengorbanan dalam perjuangan. Mengorbankan masa dan waktu, harta, diri, kaum keluarga dan kerabat dan segalanya untuk perjuangan. Sejauhmanakah kita melakukan pengorbanan; Adakah seperti yang berlaku ketika zaman Nabi Ibrahim AS dan anaknya Ismail AS? Adakah seperti Rasulullah SAW dan para sahabat RA? Namun persoalan yang perlu kita tanyakan pada diri, “Adakah cukup pengorbanan untuk disembah kepada Allah ketika diakhirat kelak?”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan